Al-Quran dan Hadis
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

Surah Al-Nahl 16:68-69
Abu Sa'id Al Khudri r.a menceritakan "Seorang lelaki telah datang menemui nabi SAW seraya berkata:

"Sesungguhnya saudaraku telah mengalami sakit perut (memulas dan cirit)" 

Maka Rasulullah SAW bersabda: 
"Berilah dia minum madu" 

Maka lelaki itu memberi madu kepadanya, kemudian dia datang lalu berkata 
"Sesungguhnya saya telah beri dia minum tetapi perutnya memulas sakit" 

Maka Rasulullah SAW bersabda lagi: 
"Berilah dia minum madu lagi" 

Lelaki tadi pulang dan memberi minum lagi kepada saudaranya tetapi masih membawa berita yang sama sehingga Rasulullah SAW tetap juga bersabda seperti yang pertama untuk kali ketiganya. 

Kemudian lelaki itu datang lagi untuk kali keempat, maka Rasulullah masih bersabda lagi: 
"Berilah dia minum lagi (madu)" 

Dia pulang dan datang lagi maka dia berkata 
 "Sesungguhnya saya telah memberinya minum, tetapi perutnya makin memulas sakit" 

Mendengar demikian, Rasulullah SAW lalu bersabda 
 "Benarlah Allah dan dustalah perut saudara engkau" 

Maka lelaki tadi pulang memberinya minum madu lagi dan kemudiannya baru sembuh." 

Ya, dalam peristiwa ini kesakitan orang itu amat ketara di mana perutnya mengalami keracunan. Apabila dia minum madu, maka madu itu akan bertindak balas dan dia merasa lebih sakit buat sementara waktu dan akhirnya kesakitannya baru sembuh.

Jadi, dalam pengubatan madu ini kita harus konsisten dan menyakini bahawa kekuatan madu boleh menyembuhkan dengan izin Allah SWT. 

HR. Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan Ahmad